Nyaris jadi mangsa rompak

Enam sekeluarga melakukan sujud syukur selepas selesai solat Subuh berjemaah selepas mereka terselamat dalam cubaan rompakan bersenjata, awal pagi semalam.

Mangsa merupakan seorang guru di sebuah sekolah menengah di Port Dickson bersama isteri dan empat anaknya berusia antara 9 dan 18 tahun berbuat demikian selepas menghadapi saat mencemaskan apabila berlaku tembakan di sekitar rumahnya, kira-kira 4 pagi.

Ia berikutan rumah mangsa menjadi sasaran perompak terbabit, bagaimanapun keluarga berkenaan terselamat apabila kepantasan anggo­ta polis berjaya menembak mati penjenayah terbabit.

“Saya tidak sangka bunyi letupan beberapa kali sekitar jam 4 pagi itu adalah bunyi tembakan polis ke atas penjenayah berkenaan. Lebih memeranjatkan, penjenayah itu dipercayai sedang dalam cubaan hendak memecah masuk ke rumah saya,” katanya.

Menurut guru berkenaan, ketika bunyi tembakan itu, dia terjaga dan kemudian bangun untuk memeriksa pintu serta tingkap rumah tanpa mengesyaki sesuatu buruk berlaku.

“Selepas memastikan semuanya dalam keadaan selamat, saya tidur kembali. Ketika itu saya memang tidak meninjau ke kawasan luar rumah, namun ada juga mendengar seperti orang berlari berhampiran rumah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya, semalam.

Mangsa berkata, kira-kira 6 pagi sementara menunggu waktu solat Subuh, tiga anggota polis datang ke rumahnya dan memaklumkan berkenaan kejadian tersebut.

“Saya dan isteri terkejut sebaik mendapat tahu perkara itu dan bersyukur kerana kami sekeluarga terselamat daripada sebarang kejadian tidak diingini. Selepas solat Subuh berjemaah, baru saya beritahu isteri dan anak-anak saya. Mereka terkejut sebelum kami sama-sama menunaikan sujud syukur,” katanya.

Sementara itu, isteri mangsa berkata, dia tidak menyangka rumahnya menjadi sasaran penjenayah selepas beberapa kenalannya di sekitar Linggi turut menjadi mangsa, beberapa minggu lalu.
“Saya ucapkan terima kasih kepada polis atas kecekapan mereka menangani kejadian ini,” katanya.

Difahamkan, selain rumah mangsa, terdapat dua rumah lagi di kawasan berkenaan, bagaimanapun dua-duanya tidak berpenghuni.

Ditembak selepas enggan menyerah diri

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, tiga penjenayah lelaki terbabit ditembak mati polis di kawasan ladang kelapa sawit, berhampiran rumah mangsa, pagi semalam.

Menurutnya, ketiga-tiga penjenayah bersenjatakan parang dipercayai warga asing berusia lingkungan 20-an dan tiada dokumen pengenalan diri ditemui bersama mereka.

Katanya, kesemua penjenayah itu enggan menyerah diri apabila diarah berbuat demikian, sebelum tembakan dilakukan ke atas mereka.

“Kesemua mereka dipercayai cuba memecah masuk ke dalam rumah penduduk dengan memotong pagar sebelum terserempak dengan kereta peronda yang melakukan rondaan rutin.

“Dalam kejadian itu, polis turut menemui pelindung muka ski, sarung­ tangan, pemotong besi dan pemutar skru bersama penjenayah terbabit,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Osman berkata, polis juga menemui tiga buah motosikal berhampiran kawasan kejadian dipercayai digu­nakan penjenayah terbabit.

“Mayat kesemua penjenayah dihantar ke Bilik Mayat Hospital Port Dickson, di sini untuk bedah siasat,” katanya. 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s