Mandi Bunga Ais Semakin Popular Di Malaysia

BANYAK mitos di sebalik amalan mandi bunga untuk bakal pengantin. Selain pelbagai syarat perlu dipenuhi seperti penyediaan tujuh jenis bunga, ia juga mesti dilakukan pada waktu malam khususnya semasa bulan mengambang.

Namun, amalan mandi bunga kini sudah berubah. Ia boleh dibuat pada bila-bila masa malah kaum Adam juga ramai yang menyukainya. Apa yang lebih menarik, mandi bunga sambil tubuh dilitupi kedinginan ais mula popular di Malaysia.


Kaedah mandi bunga ais itu turut dipopularkan oleh syarikat Colour Vibration Therapy Sdn. Bhd. yang berpejabat di Shah Alam, Selangor, sejak tahun 1999 lagi.

Menurut pengamal perubatan alternatif yang juga antara pengendali perkhidmatan itu, Rahim Zainal Abidin, 44, kaedah itu menggunakan pati tujuh jenis bunga yang digabungkan dalam satu produk dikenali Full Moon Aromaterapi Seri Wajah.
“Mandi bunga ini tidak melibatkan penggunaan kelopak bunga segar seperti zaman dahulu. Apa yang diperlukan ialah pati tujuh jenis bunga termasuk bunga ros putih dan merah serta campuran madu,” kata Rahim.

Tambah beliau, penggunaan ais pula adalah untuk menyegarkan tubuh.


“Ais memang sejuk tetapi apabila sudah biasa, seseorang tidak akan menghadapi masalah,” ujarnya kepada Jurnal.

Tambah beliau, mandi bunga cara moden itu tidak bergantung pada bulan mengambang bagi memperoleh kebaikannya.

Mandi bunga ais dimulakan dengan mengisi penuh tab mandi dengan air. Kemudian bahan seperti kapur, sulfur, belerang dan garam dimasukkan dalam kuantiti tertentu.

Kiub ais


Selepas itu pelanggan yang sekadar memakai pakaian dalam akan masuk ke dalam tab mandi berkenaan.

“Keadaan di dalam bilik mandi ini selamat dan privasi bagi kedua-dua jantina lelaki dan wanita,” tegas Rahim.

Selepas pelanggan berendam di dalam tab mandi barulah ketulan ais dimasukkan sedikit demi sedikit.

“Kebiasaannya sebanyak 15 kilogram kiub ais disediakan untuk sekali mandi tetapi secara purata di antara lima hingga tujuh kilogram sahaja yang digunakan.

“Dengan ais sebanyak itu, pelanggan selalunya menggigil kesejukan terutamanya bagi yang pertama kali mencuba,” beritahu Rahim.

Proses mandian itu mengambil masa selama 20 minit dan beberapa titik pati bunga diperlukan.


“Ramai pelanggan mengatakan badan mereka menjadi lebih segar manakala wajah mereka lebih berseri selepas mandi,” katanya.

Menurut Rahim lagi, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan beliau ialah ada pasangan bakal pengantin yang bergurau mengatakan mandi bunga itu membuatkan mereka lebih yakin untuk berhadapan dengan tok kadi semasa majlis akad nikah nanti.
“Bagi lelaki pula mereka menjadi lebih bersemangat dan tidak sabar-sabar untuk berkahwin,” cerita Rahim sambil ketawa.

Realitinya, bukan sekadar wanita yang gemar mandi bunga tetapi kaum Adam juga menunjukkan minat yang sama.



Bau badan


“Kira-kira 30 peratus pelanggan yang memilih pakej mandian bunga kami terdiri daripada golongan lelaki. Malah, ada yang datang dari negara sejauh Lebanon, Singapura dan Indonesia,” katanya.

Bagi seorang pelanggan, Nur Farhana Mohd. Fuzi, 26, beliau mengamalkan mandi bunga di pusat terapi alternatif itu sejak berkahwin pada umur 19 tahun.

Beliau yang sudah dikurniakan seorang cahaya mata masih kelihatan seperti seorang anak dara. Penampilan Farhana tidak menggambarkan usia sebenarnya.


“Badan saya juga berasa segar dan kurang penat walaupun saya sering bekerja sehingga lewat malam. Malah, suami juga mengatakan bentuk badan saya tidak banyak berubah, sama seperti mula-mula berpacaran dahulu,” katanya.

Farizah Suhaimi, 24, yang akan berkahwin tidak lama lagi percaya mandi bunga mampu menambah seri pada wajahnya.

“Perkahwinan seboleh-bolehnya dijalani sekali sahaja dalam seumur hidup, jadi kita inginkan yang terbaik semasa majlis perkahwinan,” komen beliau.

Kru Jurnal sendiri sempat merasai pengalaman mandi bunga ais itu. Baru beberapa minit merehatkan badan di dalam tab mandi yang penuh ais itu, badan sudah menggigil kesejukan.

Bagaimanapun, selepas 20 minit tubuh menjadi lebih selesa dan bau busuk badan tiada lagi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s